Search

MMC jadi pemain utama industri

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kejayaan menguasai kepentingan syarikat pengendali pela­buh­an Northport di Pelabuhan Klang, NCB Holdings Bhd. (NCB) akan membolehkan MMC Corporation Bhd. (MMC) menjadi pemain utama industri pelabuhan di Malaysia.

Utusan Malaysia – http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/mmc-jadi-pemain-utama-industri-1.162438

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, penyertaan pelabuhan Northport di bawah syarikatnya bersama-sama Pelabuh­an Tanjung Pelepas (PTP) dan Johor Port akan mengukuhkan lagi keha­diran MMC khususnya di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.

“Kami yakin langkah ini seterusnya akan menjadikan MMC sebagai pemain utama industri pelabuhan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MMC sebelum ini telah melancarkan tawaran untuk membeli 53.42 peratus lagi kepentingan NCB dengan harga RM1.105 bilion, berlandaskan 251,195,573 saham NCB yang mahu dibeli pada harga RM4.40 sesaham daripada Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Amanaraya Trustees Bhd.

MMC akan memiliki 83.55 peratus kepentingan di dalam NCB sekali gus menjadi pemegang saham terbesar syarikat. MMC sebelum ini hanya memiliki 30.13 peratus kepentingan di dalam NCB.

Selain memiliki Northport, NCB turut menjalankan perniagaan logistik menerusi Kontena Nasional Bhd. (Kontena Nasional).

Pada masa sama, MMC memiliki 100 peratus kepentingan di dalam Johor Port dan 70 peratus pegang­an ke atas PTP. Menurut MMC, kedua-dua pelabuhan itu berada di lokasi strategik di sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor.

Menurut kajian oleh firma penyelidikan MIDF Research sebelum ini, berdasarkan jangkaan masa depan terdapat peluang yang cerah untuk menyaksikan MMC akan menyenaraikan unit pelabuh­annya sekali gus menjadi syarikat pengendali pelabuhan terbesar di Bursa Malaysia.

MMC mengumumkan syarikat itu tidak akan mengekalkan NCB di Bursa Malaysia jika berjaya me­nguasai kesemua kepentingan di dalam syarikat tersebut.

Leave a comment

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑